Aprilia merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi peminat motosikal dunia. Ia telah banyak menempa nama dalam perlumbaan motosikal sejak dulu lagi dan kini mula kembali ke persada perlumbaan dunia melalui penyertaan mereka dalam Kejohanan Superbike Dunia sejak tahun 1999.
Pengedar rasmi Aprilia di Malaysia, Naza Primera Sdn Bhd telah tampil memperkenalkan model perdana Aprilia iaitu RSV4. Kesinambungan dari model RSV terdahulu yang menggunakan enjin Rotax V-dua silinder 60°, model berenjin V-empat silinder ini mampu dipertingkatkan untuk menjana lebih 200hp bagi tujuan perlumbaan.
Aprilia RSV 4 ini didatangkan dalam dua model iaitu RSV4-Factory dan juga RSV4-R. Ia telah mula diperkenalkan kepada dunia di Konvensyen Antarabangsa Kumpulan Piaggio di Milan pada 22 Februari 2008, dan memaparkan enjin produksi empat silinder pertama mereka yang berkonfigurasi 65° dengan sesaran 999.6 cc. Kompak dan lebih kecil dari enjin V-60° dua silinder terdahulu, ianya mengguna aci pengimbang bagi membatalkan gegaran yang lazimnya sinonim dengan enjin V.
Rekabentuk inovatif telah diguna pakai dalam rekaan pacuan aci sesondol kembarnya bagi memampatkan saiz kepala silindernya. Hanya injap kemasukannya dipacu rantai manakala injap ekzos pula digerakkan melali satu siri gear yang terletak diantara kedua dua silinder.
Kawalan pendikit dibuat melalui litar elektronik yang dihubungkan ke kotak kawalan elektronik (ECU) Magnetti Marelli. Bahan api kemudiannya dihantar oleh dua pemancit bagi setiap silinder menurut corak pemetaan enjin yang dipilih pengguna. Terdapat tiga corak pemetaan yang mampu dipilih bagi menyesuaikan keadaan penunggangan. Pilihan Track membolehkan kuasa maksima diperah dari jentera ini bagi kegunaan di litar, manakala pemetaan Sport mampu membantu hantaran kuasa yang lancar bagi keterujaan penunggangan. Pilihan Road pula membataskan hantaran kuasa kepada 140hp untuk penunggangan berhemah di jalan raya.
Motosikal ini didatangkan dengan kekotak gear jenis kaset dan klac gelincir, serta sistem brek yang cukup berkuasa dengan angkup monoblok Brembo dengan dwi-cakera 320mm yang digabungkan dengan angkup dwi-omboh bercakera 220mm di roda belakang. Penampilan nya agak menarik dengan susunan tiga lampu utama yang menyokong panel meter gabungan digital dan analog. Jentera ini mampu melakukan analisa enjin, dan mod kawalan boleh dipilih melalui suis yang terdapat pada pemegang hendal.
Mengekalkan tradisi penggunaan kerangka jenis tetuang, motosikal ini menjanjikan ketegasan anti-lentur yang tinggi bagi kawalan jentera berprestasi tinggi. Kerangka ini digabungkan dengan lengan ayun ringan yang dibina dari aluminium tempaan dan juga tetuang untuk memperolehi kombnasi keseluruhan yang menjanjikan kawalan jentera yang baik di jalanan lurus mahupun liku berbukit. Penunggangan yang meyakinkan dan enjin nya yang berkuasa menjadikan jentera ini amat mengujakan dan mampu memenuhi kehendak mereka yang menginginkan jentera lumba yang mudah disesuaikan untuk kegunaan harian di jalan raya. – Salihin Rahim, 16 September 2011.
Spesifkasi Aprilia RSV4
Enjin : 999.6 cc V-4 selinder 4-lejang DOHC sejukan cecair
Kuasa maksimum: 177.55hp @ 12,500 rpm
Dayakilas maksimum: 115.2Nm @ 10,000 rpm
Transmisi: 6 -kelajuan dengan klac basah
Berat kering: 179 kg
Tangki bahan api: 17 L
Harga: RM99,761.00 (RSV-R) dan RM121,313.00 (RSV-Factory) atas jalan
Komen BH Auto: Jentera penuh kuasa yang meyakinkan














