Volvo Car Malaysia (VCM) baru melancarkan versi terbaru kenderaan CKD mereka iaitu model S60 turbo dalam dua varian; T5 yang menggunakan enjin 2.0 liter berkuasa 240hp dan 320Nm tork serta T4 yang berenjin 1.6 liter berkuasa 180hp dan 240Nm tork.

Kedua-dua kenderaan ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini dari Volvo termasuk Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Adaptive Cruise Control dengan Brek Automatik Penuh (CWAB) dan City Safety.

Selain itu sebagai tambahan, T5 juga akan dilengkapi teknologi Pengesan Pejalan Kaki dengan brek penuh. Sistem ini mampu mengesan objek berbentuk manusia yang melintas di hadapan kereta dan akan membrek secara automatik sekiranya pemandu tidak memberi tindak balas dalam masa yang tepat pada kelajuan di bawah 35km/j.

Sempena musim perayaan yang bakal tiba, VCM mengadakan promosi di mana 60 pelanggan pertama yang menempah S60 T4 dan T5 akan diberi aksesori percuma bernilai RM10,000.

T4 dijual pada harga RM220,000 manakala T5 pula RM255,000. Kedua-dua harga ini adalah harga di atas jalan termasuk insurans. – BH Auto, 17 Ogos 2011.