PROTON minggu ini melancarkan variasi terbaru model Saga yang lebih agresif dan sporty. Dilengkapi dengan enjin 1.6L Campro IAFM dan kotak gear automatik CVT, model Saga FLX SE ini turut didatangkan dengan kit badan lengkap, rim aloi 15-inci dan kemasan kulit untuk ruang kabin.

Prestasi dijangkakan lebih mantap disebabkan enjin berkenaan turut digunakan oleh model Persona yang jauh bersaiz lebih besar. Sistem transmisi CVT pula menjanjikan penjimatan minyak yang lebih baik berbanding dengan model sebelumnya.

Ditawarkan di dalam dua warna (putih Solid White dan merah Fire Red), Saga FLX SE ini berharga RM49,449 termasuk jaminan tiga tahun atau 100,00km batuan, cuma RM2,900 lebih mahal dari model Saga 1.6L sebelum ini. Proton juga menawarkan mereka yang telah menempah Saga FLX biasa untuk bertukar kepada model baru ini.

Dalam perkembangan lain, Proton juga baru membuka pusat pameran Platinum syarikat itu di Medan, Indonesia.

Baru-baru ini, Proton Exora dinobatkan sebagai MPV Kecil Terbaik Indonesia oleh majalah MobilMotor dan kejayaan berkenaan membuka mata pengguna di pasaran Indonesia terhadap produk-produk lain Proton.

Model FLX SE kini boleh dilihat di semua pusat pameran Proton seluruh negara. - BH Auto, 2 Disember 2011.