Pengedar kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Sdn Bhd (ETCM) hari ini memperkenalkan Nissan Latio yang dipertingkatkan untuk pasaran tempatan. Kedua-dua varian, versi hatchback dan sedan model berkenaan kini diberi sentuhan baru bagi aspek reka bentuk dan aksesori, dengan penampilan yang lebih kemas.
Secara visualnya, Latio baru ini berbeza dengan versi terdahulunya menerusi rekaan gril dan bampar hadapan baru yang memberikan suntikan elemen elegan dan moden. Nissan Latio Hatchback juga menampilkan reka bentuk bampar belakang yang lebih menonjol.
Lampu utama juga diperbaharui dengan gaya kontemporari unik, dipadankan dengan lampu belakang model hatchbacknya untuk menawarkan imej kemas serta sporty.
Bagi ruang dalaman, Latio Hatchback kini tampil dengan kawalan audio pada stereng dan unit pemain audio beserta input Auxiliary (AUX) untuk peranti audio mudah alih. Di samping meter berwarna putih dengan paparan bacaan purata penggunaan bahan api. Latio Hatchback turut dilengkapi dengan sistem penghawa dingin automatik dengan paparan digital.
Model ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder aluminium sepenuhnya MR18DE 1.8L (93kW/126ps pada 5,200rpm; 174Nm@4,800rpm) bagi model model hatchback manakala enjin HR16DE 1.6L (80kW/ 109ps@6,000rpm; 153Nm@4,400rpm) bagi model sedan. Ia turut menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan tanpa menjejaskan aspek prestasi, iaitu 7.1L/100km bagi model sedan dan 7.8L/100km bagi model hatchback.
Dianugerahkan taraf enam bintang dalam aspek keselamatan oleh Program Penilaian Kereta Baru Jepun (Japanese New Car Assessment Program, JNCAP), Latio dijangka mampu mengukuhkan reputasinya melalui keluasan kabin dan keselesaan yang mengagumkan.
“Latio versi terbaru ini akan memberi lebih banyak nilai kepada para pelanggan kami dengan penampilan dan ciri-ciri yang telah diperbaharui,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng.
Harga di atas jalan (termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran tuntutan pemilikan) untuk Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut: Nissan Latio (Sedan) : 1.6 AT – RM89,800.00 (Comfort); Nissan Latio (Hatchback) : 1.8 AT – RM99,800.00 (Comfort). Nissan Latio diberi jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (yang mana dahulu). Selain itu, pembeli-pembeli Latio juga akan menerima pakej filem cermin Solar Gard Armorcoat bernilai RM1,400.00.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Hotline Khidmat Pelanggan kami di talian BEBAS Toll: 1800-88-8368 atau layari www.nissan.com.my. Pandu uji juga boleh diatur di bilik pameran Nissan berdekatan anda. - BH Auto, 29 September 2011.








