Proton menjual kenderaannya ke berapa buah negara? – 0172984227
+ Pasaran luar utama Proton ialah di Indonesia, Thailand, Asia Tengah, China. S2000 juga dijual secara terhad di Jepun.
Saya berminat dengan SUV Toyota Fortuner. Apakah beza model 2.7(V) Petrol dengan 2.5(G) Diesel dari segi penggunaan bahan bakar, prestasi, penjagaan dan lain-lain? -0133907834
+ Kebiasaannya, untuk kenderaan pacuan empat roda, enjin diesel yang lebih diperlukan. Tentunya disebabkan oleh upaya torknya yang lebih tinggi. Cuma, enjin diesel lebih kasar dan enjin petrol lebih senyap dan selesa kepada kebanyakan orang.
Adakah Naza bercadang untuk membawa masuk model Kia Soul ke Malaysia? - 0197883819
+ Menurut Naza Kia, syarikat itu belum mempunyai perancangan untuk membawa masuk model Soul ke pasaran Malaysia dalam jangka masa terdekat. Bagaimanapun, model-model seperti Picanto dan Rio terbaru adalah antara model yang sedang dipertimbangkan untuk pasaran tempatan.
Benarkah Proton ada mengeluarkan model seperti Tuah, Jebat dan Lekir? Bila ia akan ada di pasaran? – 0126845427
+ Model P3-21A yang bakal diperkenalkan khabarnya di dalam tahun ini diambil daripada arah reka bentuk Tuah. Penerapan dari model konsep kepada model produksi ini adalah perkara yang sudah diumumkan Proton tidak lama dulu, dan model dari reka bentuk Tuah adalah yang pertama akan diperkenalkan.
Apakah Hammann sebuah model yang ditala khas? – 0126845427
+ Hammann adalah jenama penala kenderaan yang sinonim dengan kenderaan-kenderaan prestasi.
Benarkah kereta sport Dagger GT keluaran Amerika Syarikat boleh mencecah kelajuan 505km/j? – 0126845427
+ Seperti yang didakwa pembikinnya, kuasa maksimum kenderaan terbabit ialah 2,000hp. Ia dilengkapi dengan enjin 9.4 liter V8. Tentunya kuasa seperti ini boleh mencecah kelajuan demikian.
Proton patut mengekalkan jenama modelnya. Tak bolehlah menukarnya setiap kali model baru dilancarkan. Ia harus ada hala tuju. Contohilah Toyota (Corolla) dan Honda (Civic dan Accord) yang menjadi model utama berjaya. Gen2, Persona dan Inspira sepatutnya tidak wujud. Ia sepatutnya Wira Aeroback, Wira dan Waja generasi baru untuk pemasaran jenama Proton. Saga pun hampir 20 tahun, baru ada model baru. Cuma Satria sahaja yang ada kesinambungan dengan model baru iaitu Satria Neo tapi bukan model utama Proton yang lain. – 0129468582
Adakah Proton akan mengeluarkan enjin Campro versi 2.0? - 0172984227
+ Setakat yang dimaklumkan, ketika ini Campro hanya dalam kapasiti 1.6 liter, dengan yang terbaru varians CFE diperkenalkan, seperti pada Exora Bold.




