Saya baru menggunakan motosikal Yamaha LC135. Ingin tahu bilakah masanya kipas penyejuk radiator berfungsi? – 0123393671

+ Kipas penyejuk akan diaktifkan apabila suhu cecair penyejukkan meningkat sewaktu operasi enjin, lazimnya sebelum ia mencapai takat didih 100 darjah Celsius. Ia dilaras sebegitu rupa bagi mengelakkan kerosakkan enjin akibat suhu yang terlalu tinggi. Pengaktifan kipas penyejukkan yang terletak di belakang tangki penyejuk ini adalad dikawal unit CDI berdasarkan maklumat yang disalurkan daripada sensor suhu. Bagi unit CDI perlumbaan pula, lazimnya takat suhu pengaktifan kipas ini akan diturunkan agar kipas beroperasi pada suhu yang lebih rendah.

 

Saya mempunyai Honda EX5 Class. Di mana saya boleh dapatkan kedai yang menjual badan asal motosikal ini? Saya punya sudah pudar.  - 0192197430

+ Mungkin keseluruhan badan motosikal agak sukar didapati, mahal dan juga tidak praktikal untuk menukarnya. Anda perlu membawa motosikal tersebut ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk didaftarkan semula memandangkan setiap badan motosikal mempunyai nombornya yang tersendiri. Adalah lebih praktikal untuk mengecat semula badan motosikal yang sudah pudar.

 

Apa kelebihan dan kekurangan teknologi dua piston dan satu piston pada enjin 250cc? Ada laman web yang boleh dirujuk secara terperinci?  - 0137005919

+ Rasanya setakat ini tiada laman sesawang khusus yang membincangkan perbezaan keduanya dalam bahasa Malaysia. Enjin satu selinder lebih sesuai bagi sesaran ynag lebih kecil, yakni tidak melebihi sekitar 650cc. Ia juga lebih murah dibina dan lebih ringan dengan komponen bergerak yang sedikit berbanding enjin multi-selinder. Oleh itu kos penyelenggaraannya juga adalah lebih rendah, dan enjin ini juga lebih menjimatkan bahan api. Enjin multi-silinder yang mempunyai lebih dari satu silinder mempunyai komponen bergerak yang lebih banyak, dan lazimnya lebih berat dan kompleks. Namun begitu hantaran kuasa enjin multi-selinder adalah lebih sekata, malah akan bertambah baik jika lebih banyak silinder digunakan bagi jumlah sesaran yang sama. Ini membuatkan enjin multi-silinder lebih berprestasi, tetapi enjin yang kompleks sebegini juga akan meningkatkan lagi kos penyelenggaraan.

 

Jika saya sertai Cub Prix, adakah ia akan mengganggu hari persekolahan saya?  - 0179411542

+ Anda pelulah pandai membahagikan masa anda, tetapi mungkin beberapa hari sewaktu jadual perlumbaan tidak dapat anda elakkan, seperti keperluan menghadiri pendaftaran dan pemeriksaan pada hari Jumaat, dan perlumbaan yang lazim dijalankan pada hari Ahad akan memberikan masalah jika anda bersekolah pada hari tersebut.