Pengalaman memandu barisan kenderaan Porsche di litar amat mengujakan.

Selain pelancaran model Panamera GTS dan Boxster ketika Minggu Permotoran Porsche 2012 lalu, beberapa aktiviti lain diadakan khas bagi pemilik dan pelanggan Porsche termasuk Pengalaman Pemanduan Porsche (PPEM) dan Latihan Litar Porsche (PCT).

Dalam PPEM, peserta berpeluang mempelajari cara pemanduan dalam empat keadaan berbeza – laluan licin, brek kecemasan, mengelak halangan serta slalom.

Untuk laluan licin, kenderaan yang disediakan adalah Porsche 911. Kenderaan yang penuh kuasa ini dipandu mengelilingi susunan kon berbentuk bulatan secara perlahan kemudian pedal ditekan sepenuhnya. Ini bagi menunjukkan fungsi Pengurusan Stabiliti Porsche (PSM) yang dapat mengesan olengan dan sudut roda stereng seterusnya mengelakkan gear masuk.

Ujian brek kecemasan pula dilakukan menggunakan Porsche Panamera. Coupe empat pintu ini dipandu hingga 80km/j, pedal brek ditekan sepenuhnya hingga fungsi ABS mengambil alih seterunya kon yang diletakkan betul-betul di hadapan perlu dielak. Walaupun badan kenderaan ini agak besar, kuasa brek yang dihasilkan cukup untuk memastikan kenderaan berhenti tepat pada masanya.

Laluan yang hampir sama turut diatur untuk ujian mengelak halangan. Kali ini menggunakan Porsche Cayenne dan brek tidak ditekan sebaik tiba di kon. Sebaik tiba betul-betul di hadapan kon pada kelajuan 80km/j, stereng dipusing untuk mengelak, seterusnya kembali ke jalan lurus. Cayenne yang merupakan sebuah SUV tinggi masih dapat dikawal dalam situasi ini tanpa sebarang tragedi.

Seterusnya adalah ujian slalom menggunakan Porsche Panamera. Meskipun badannya besar dan panjang, penulis masih dapat mengawal kenderaan mengelak kon tanpa melanggar satu pun daripadanya dengan mudah. Dalam ujian ini, aspek penting adalah pengawalan kuasa.
Namun sepanjang satu hari di Sepang, acara yang ditunggu adalah pemanduan dalam litar.

BH Auto turut berpeluang memandu Porsche Carrera S di dalam trek penuh. Model terbabit
ialah sebuah kenderaan berkuasa 350hp dan untuk mendapatkan masa terbaik pemandu bukan hanya perlu mengerah kuasa ini sepanjang masa secara melulu.

Sebelum tiba di selekoh, pemandu harus menekan brek habis-habisan sehingga mencapai kelajuan yang selamat sebelum membelok. Mata harus memandang bahagian ‘Apex’ sehingga nampak laluan keluar dari selekoh. Kemudian barulah pedal minyak boleh ditekan. Itupun mesti dilakukan secara berkadar agar bahagian ‘ekor’ tidak terkeluar. Ini disebabkan enjin Carrera berada di belakang dan ia adalah pacuan belakang.

Dalam laluan lurus, penulis berjaya mencatat kelajuan sehingga 220km/j sehingga brek ditekan 150 meter sebelum selekoh. -Durrani Sharom

“Sukan permotoran adalah jiwa Porsche dan sebab itulah kami berterusan mengadakan aktiviti di litar. Kami mahu pelanggan merasa sendiri pengalaman jenama serta kenderaan Porsche dan juga bagaimana memaksimumkan prestasi kereta srta pemanduan yang selamat,” – Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer.

INFO:

80kmj
Kelajuan ketika latihan brek kecemasan dengan SUV Porsche Cayenne.

220kmj
Kelajuan yang dicapai dengan Porsche Carrera S

350hp
Kuasa yang dijana enjin model Carrera S.