Awalnya bermula sebagai pengeluar penjana lampu basikal dengan hanya 10 orang pekerja dikenali sebagai Sangyang Industry Co, Ltd pada tahun 1954 di Neihu, Taipei, hari ini SangYang Motors (SYM) merupakan antara jenama motosikal yang terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai barisan produk skuter, moped, motosikal dan juga kenderaan pelbagai guna ATV.

Pengedar SYM tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah berkembang dengan mantap di Malaysia, bermula dengan perkongsian pasaran awal hanya 0.3% pada tahun 2009. Angka itu meningkat kepada 0.9% pada tahun berikutnya, dan seterusnya mencapai kadar 2.1% pada tahun 2011 lalu, di bawah pimpinan Pengarah Urusan MForce Bike Holding, Tan Heah Lean. Terkini, SYM dilaporkan telah mengalami pertumbuhan jualan sebanyak 2.3 kali ganda untuk suku pertama 2012 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam perkembangan terbaru, SYM memperkenalkan tiga model baru skuter mewah MaxSYM 400i, motosikal naked T2 250i, dan juga skuter Jet Power 125 sebagai tambahan kepada barisan produk sedia ada. Model T2 250i bertujuan untuk memenuhi kekosongan segmen motosikal naked 250cc, dan dijual pada harga RM16, 500 bagi varian standard.

Dikuasai enjin 249.4cc satu silinder empat injap, empat lejang, suntikan bahan api yang mampu menjana 18.4kw, dengan brek cakera depan belakang, paparan LCD dan kemasan menarik, T2 250i adalah satu tawaran yang baik untuk dipertimbangkan. Varian Edisi Khas dilengkapi dengan ekzos sistem-penuh dan bahagian fairing seakan karbon, dan ditawarkan pada RM17, 100.00. Skuter Jet Power 125 boleh didapati untuk RM4, 150.00, disasarkan untuk kumpulan umur yang lebih muda.

MaxSYM 400i mempunyai dua lampu utama dan reka bentuk ergonomik yang sesuai untuk tunggangan jarak jauh. Ia kini merupakan model perdana SYM yang menawarkan keselamatan dan keselesaan tunggangan di dalam dan di luar bandar.

Enjin satu-silinder, sejukan cecair 399cc dengan suntikan bahan api elektronik mampu memacu SYM MaxSYM 400i dengan mudah dari kedudukan pegun. Jagoan bandar yang sebenar, apa yang anda perlu lakukan hanyalah memutar pendikit untk bergerak, ihsan transmisi boleh ubah berterusan (CVT) dengan klac empar.

Skuter besar ini menjanjikan penggunaan bahan api yang baik dengan suntikan bahan api elektronik, dan dengan tangki 14,7 liter bahan api da tahap penggunaan bahan api purata indikatif sebanyak 4.3 Km l/100, ia mampu menjanjikan jarak perjalanan lebih 300km.

Kestabilan kelajuan tinggi dijangka baik dengan roda depan 15 inci dan roda 14 inci di belakang, yg dipasang tayar Maxxis 120/70-15 pada bahagian hadapan dan 160/60-14 di belakang. Seperti skuter lain, tuil brek tangan kanan mengawal cakera depan tetapi tuil kiri mengendalikan kedua-dua depan dan belakang, untuk mengekang kelajuan SYM MaxSYM 400i dengan cukup meyakinkan.

Sistem jalinan brek ini (linked brake) terdiri daripada brek berkembar cakera 275 mm dengan angkup empat omboh di depan, yang dipasangkan dengan omboh angkup tunggal cakera 275 mm di belakang, dengan talian keluli terjalin (steel braided).

Walaupun skuter ini seberat 224kg, tetapi ia mempunyai pusingan stereng yang lebih baik berbanding dengan motosikal konvensional lain dan oleh itu ia boleh dikendalikan sekitar halangan dengan mudah.

Ruang simpanan di bawah tempat duduknya boleh memuatkan sebuah topi keledar penuh muka dan juga sebuah topi keledar muka terbuka. Dua penyokong kecil mengampu bukaan pelana dan lampu dalaman juga disediakan. Satu soket 12 V dan satu USB juga dipasang sebagai peralatan standard pada ruang simpanan di kaki kiri.

Untuk membawa barangan tambahan, anda akan perlu menggunakan cangkuk beg barangan, kerana ia tidak mempunyai lantai yang rata yang membolehkan anda mengapit beberapa beg lagi di antara kaki anda. Dengan pusat graviti yang rendah dan sistem gantungan yang baik mengawal kestabilan roda, MaxSYM 400i ini mampu mempengaruhi anda untuk berseronok di jalan berliku dan berbukit, dan juga kembara serius hanya dengan harga RM26, 000.00. - Salihin Rahim, 22 Mei 2012.

 

SYM MaxSYM 400i

Enjin: Satu silinder 399.3 cc empat-lejang sejukan cecair

Kotak gear: Automatik

Kuasa maksimum 60 hp pada 7500 rpm

Torque maksimum 66 Nm pada 6000 rpm

Berat kering: 210,0 kg

Kapasiti bahan api (liter) 14,7 L