Fungsi bantuan ECON yang disediakan membantu pemandu mencapai tahap penggunaan bahan api lebih cekap, beri penjimatan yang lebih baik.
Ramai orang berkunjung ke gimasium untuk dua sebab utama: menguruskan badan, menambah ketegapan dan kesihatan atau menambah kekuatan fizikal. Ambil gambaran itu untuk mengetahui seperti apa pembaharuan yang dilakukan ke atas model Honda Civic terbaru, yang sebelum ini sudah terkenal dengan prestasi lumba terutamanya melalui spesifikasi Type-R dan penjimatan bahan api pada model sedannya.
Jika anda tertanya-tanya Honda Civic generasi kesembilan 2012 jatuh dalam kategori yang mana seperti yang dinyatakan itu, kenderaan ini mengambil laluan yang lebih tersendiri; lebih ‘ringan’ dengan mengurangkan berat keseluruhan untuk mengoptimumkan penggunaan mod ECON yang melengkapi generasi Civic terbaru ini.
Hal ini dicerminkan dengan reka bentuk keseluruhan yang lebih sederhana, dengan garis badan lurus; berbeza dengan model terdahulu yang tampil lebih gagah dan nampak besar. Ia sebagai arah baru yang diterapkan Honda pada model ini, bertujuan untuk memberi lebih penekanan terhadap tema dan konsep penjimatan berbanding sekadar imej model semata-mata.
Pengalaman memandu perkukuh tanggapan
Diberi peluang untuk memandu model Civic 2012 ini di dalam satu perjalanan dari Pusat Latihan Honda di Bangkok, Thailand ke Khao Yi dan pulang kembali ke Bangkok banyak memberi peluang untuk mendekati karektor model terbaru Honda ini.
Perjalanan keseluruhan yang mengumpulkan jarak perjalanan sejauh 320km melalui pelbagai keadaan jalan itu menyerlahkan ciri sebenar Civic terbaru berkenaan. Aspek pemanduan masih menjadi penawaran paling bermakna Civic. Selepas beberapa ketika diambil untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran pemanduan dan ciri yang pada pada model terbabir, Civic 2012 tidak pernah putus mengujakan pemandu. Walaupun mungkin dari pandangan mata kasar ia kelihatan sedikit kecil berbanding model terdahulunya, karektor pemanduannya tidak pernah mengecewakan.
Dua varian disediakan untuk sesi pandu uji itu, versi 1.8 liter dan juga 2.0 liter. Selesai mencuba kedua-duanya, ada satu perkara yang disedari; agak sukar untuk membezakan kedua-dua varian ini, kecuali ketika anda mula perasan bahawa ciri-ciri seperti sistem navigasi dan gear Sport yang hanya ada pada model 2.0 liter. Selain itu, ciri eksekutif seperti kerusi larasan automatik bagi pemandu, lampu utama dengan pemasa, penggunaan kunci pintar, kawalan cruise dan beg udara SRS pada bahagian sisi hanya terdapat pada varian yang lebih premium 2.0 liter sahaja.
Civic 2012 juga ini dilengkapi dengan papan pemuka multipleks sebagai ciri terbarunya. Ciri ini melibatkan paparan pelbagai informasi berwarna dengan skrin lima inci yang dikenali sebagai i-MID, yang memberikan bacaan maklumat seperti penggunaan minyak, perincian audio dan informasi penting lain dari semasa ke semasa.
Secara umumnya, memandu model terbaru ini masih memberikan keseronokkan yang sama, yang ada pada model Civic sebelum ini. Jika anda pernah memandu sebuah Civic, pasti anda akan mudah membiasakan diri dengan jelmaan terbaru model antara yang terlaris dan paling popular yang pernah dikeluarkan Honda ini.
Butang penjimatan ECON
Bagaimanapun, pilihan mod ECON yang bertujuan untuk menjadikan enjin lebih cekap turut membantu mengubah ciri pemanduan Civic 2012. Ada ketikanya ia membuatkan kita terasa seperti memandu sebuah kenderaan hibrid, meskipun Honda cuba untuk meletakkan kedua-dua perkara secara berasingan melalui barisan produk sedia ada syarikat itu.
Honda menggelarnya Fungsi Bantuan Eco; Civic 2012 adalah yang pertama bagi kenderaan bukan hibrid yang dilengkapi daripada barisan keluarga kenderaan Honda setakat ini. Apabila diaktifkan, ia akan menggabung kawalan dan kecekapan pelbagai fungsi dan tujuan tertentu seperti mengoptimumkan fungsi Drive-By-Wire, penukaran gear transmisi automatik, pendingin hawa, enjin serta komponen berkaitan, seterusnya meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan.
Semasa dalam mod ini, lampu penunjuknya akan menyala pada paparan i-MID dan apabila lampu pada meter kelajuan bertukar dari biru kepada hijau, kuasa kenderaan ini juga dapat dirasakan menurun sedikit.
Ini sememangnya sudah dijangka memandangkan alat kawalan ini cuba menjimatkan minyak sepanjang pemanduan, sesuatu yang menjadi identiti kebanyakan kenderaan generasi terbaru kini dan diaplikasikan oleh kebanyakan pengeluar – semuanya untuk lebih ‘hijau’.
Malangnya kami tidak diberikan angka tepat untuk dipaparkan, lebih-lebih lagi ia bakal tiba di Malaysia pertengah Julai ini dengan spsifikasi yang sedikit berbeza dengan model yang terdapat di Thailand ini. Bagaimanapun, dari pengalaman memiliki dan memandu Civic, penjimatan minyak yang lebih baik dari biasa adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.
Ciri keselamatan tertinggi
Begitu juga dengan ciri keselamatan pada Civic 2012. Honda menyatakan model ini mendapat pengiktirafan lima bintang dalam ujian EURO NCAP untuk penumpang dan pejalan kaki. Dalam ujian itu dinyatakan struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) yang digunakan pada Civic memberikan kadar keserasian dipertingkat walaupun di antara kenderaan berbeza saiz dan tinggi.
Ia juga dilengkapi beg udara hadapan dan sisi lengkap dengna Sistem Pengesan Kedudukan Penumpang (OPDS), ABS, EBD dan Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA).
Aspek keselamatan dinaik taraf dengan sistem VSA lengkap dengan Stereng Kuasa Elektronik (EPS) adaptif gerakan – satu sistem yang dapat membantu pemandu mengawal kenderaan semasa ‘understeer’ atau ‘oversteer’.
Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa imej dan kemampuan Civic 2012 ini menggambarkan prestasi yang diharapkan. Rekaan lebih kecil dan garisan badan jelas menunjukkan ia adalah sebuah Civic, kali ini muncul dengan kecenderungan yang lebih dalam penjimatan bahan api.
Menurut Honda, selain diiktiraf sebagai Kenderaan Keluarga Terbaik 2012 oleh Kelley’s Blue Book, syarikat itu juga sudah menjual sebanyak 135,000 unit Civic dari Januari hingga Mei tahun ini, menjadikannya pilihan nombor satu dalam segmennya di Amerika Syarikat. -Nicholas King
Spesifikasi Honda Civic 2012 (Pasaran Thailand)
Honda Civic 1.8L
Enjin: 1,798cc, 4 silinder i-VTEC
Kuasa maksimum: 139hp @ 6,500rpm
Tork maksimum: 174Nm @ 4,300rpm
Transmisi: Automatik 5-kelajuan, pacuan depan.
Honda Civic 2.0L
Enjin: 1,997cc, 4 silinder i-VTEC
Kuasa maksimum: 153hp @ 6,500rpm
Tork maksimum: 190Nm @ 4,300
Transmisi: Automatik 5-kelajuan, pacuan depan
Caption
Civic 1, Civic 2 – Civic dikatakan sebagai yang pertama dalam kelasnya untuk menaawarkan fungsi bantuan ECO.
Civic 3 – Papan pemuka multipleks bagi varian Standard, tanpa sistem navigasi.
Civic 4 – Ciri yang ada dalam Civic sebelum ini dikekalkan dengan tambahan fungsi interaktif serta Eco baru.
Civic 5 – Enjin bagi varian 2.0 diganti dengan unit SOHC i-VTEC, berbeza dengan DOHC i-VTEC sebelum ini.























