Tunggang Uji

Tunggang Uji: Modenas GT128

Jul 28, 2011 · 08:37 AM

GT128 taruhan popular Modenas

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) selaku pengeluar motosikal tempatan sebelum ini memperkenalkan pelbagai jenis model motosikal bagi pasaranMalaysia.

Terdahulu, yang paling popular mungkin Kriss 110cc, motosikal underbone yang menjadi pilihan ramai pengguna. Bagi skuter juga tidak ketinggalan. Model-model seperti Elegan (yang turut diperkenalkan model terbarunya) serta Passion 125.

Sebuah lagi model yang tidak kurang menarik dan berbaloi ialah GT128. Ini mungkin model paling sporty dengan prestasi mengkagumkan yang mampu menyaingi model-model lain dengan spesifikasi hampir sama di pasaran, seperti Yamaha 135LC.

BH Auto menunggang uji versi facelift terbaru model berkapasiti 130cc berkenaan. Dengan imej yang lebih sporty, penggunaan rim sport bergaya, grafik dan warna baru serta pekej visual keseluruhannya ternyata mampu menambat hati.

Pendikitnya memberi maklum balas cepat, menyalurkan minyak pada enjin dengan lancar dan seterusnya memboleh penunggang mengawal penyaluran kuasa motosikal ini dengan mudah dan berkesan.

Berbanding motosikal underbone Modenas yang lain, GT 128 ini jauh lebih berkuasa. Ini sekali gus menjadikan tunggangan lebih menyeronokkan. Di dalam kedudukan gear rendah, torknya tinggi untuk memudahkan motosikal mula bergerak.

Pada kedudukan gear tertinggi pula kemampuan pendikitnya masih berbaki banyak, membolehkan minyak diperah untuk mendapatkan lebih tenaga bagi meningkatkan pecutan dan terus meluncur laju. Tidak hairanlah jika model Modenas yang satu ini kerap muncul dan digunakan di dalam filem-filem semasa diMalaysiaseperti filem Adnan Sempit.

Ia juga dilengkapi dengan brek cakera bagi bahagian depan dan belakang untuk lebih cengkaman dan keselamatan. Merujuk kepada unit tunggang uji ini, brek hadapannya jika digunakan akan menyebabkan tunggangan mula tersengguk dan tersekat-sekat. Breknya mencengkam, tetapi seperti tidak sekata. Ini mungkin masalah talaan, kerana itu tidak sepatutnya berlaku.

Antara ciri lain yang menarik ialah mode pada ruang meter yang turut memaparkan bukan saja bacaan odometer, tetapi turut menunjukkan bacaan jarak batuan – ’Trip,’ serta jam digital untuk rujukan ketika menunggang.

GT 128 mempunyai karektor tersendiri. Dengan penawaran dan ciri yang ada, ia boleh menjadi antara pilihan yang sepatutnya dipertimbangkan jika anda ingin memiliki motosikal dari kelompok yang sama.

Penting juga untuk dinyatakan, harga yang ditawarkan bagi Modenas GT 128 adalah lebih murah daripada pesaingnya. Dengan harga pada RM5,168 (harga jualan), anda akan menikmati tunggangan yang tidak akan mengecewakan. – Hazril Hafiz, 22 April 2011.

 

Spesifikasi Modenas GT128 Facelift

Enjin: 130cc, empat lejang, SOHC

Liang x lejang: 53mm x 59.1mm

Transmisi: Rotari 4-kelajuan

Kapasiti tangki minyak: 4.3 liter.

Brek: Cakera (depan & belakang)

Sistem penyejukan: Sejukan udara

Komen BH Auto: Motosikal underbone yang berprestasi dan menyeronokkan untuk ditunggang.

 

 

 

 

 

 

 

8 responses to “Tunggang Uji: Modenas GT128”

  1. ikhtiaruddin says:

    sangat bagus, cuma kalau bentuk nya lebih tajam mungkin lebih cantik dan juga bagus dari segi aerodinamik..

    alat2 gantinya patut diperbanyakkan

  2. reza says:

    moto ni memamg best….setakat 0kmh ke 140kmh kejap je….setakat follow belakang ex5n legenda lgi lh senang…..

  3. syariman says:

    tapi yang lecehnya nk kejar yamha lc tetap tak blh…mungkin lc lbh 5 cc tak dptla nk kejar…apa pn harap modenas tukarkan absober gt128 kpd monoshock…dan nk tgk jgk modenas bersaing dgn jenama spt yamaha,honda dn suzuki..termasuklah di arena cub prix 2012..

  4. kamze says:

    tambah lagi dengan kotak gear 5 kelajuan, mungkin boleh saing dgn lc

  5. Man says:

    Moto ni memang best….tapi aku tetap dengan kelebihan yang ada pada Honda Future.

  6. Siti Aina says:

    Moto sgt best dan terbukti jimat minyak.

  7. Siti Aina says:

    Moto ni sangat Best dan laju. Cuma perlu ada Ruang simpanan bawah seat seperti honda future. Harap pihak modenas design moto yang ada ruang simpanan yang luas macam honda future. tq

  8. Penguna GT128 second hand says:

    Saya guna GT128 second hand… mcm tak caya meter cecah 120KM /j senang2 je .. janji spoket baru, rantai tegang, baru tukar minyak hitam.. cuma pagi yg sejuk susah start sebab enjinnya besar.. enjin yg besar ni macam nafas kuda besar sesaing RXZ 133cc .. cuma tak de tuti dan tangki yg besar.. saya terpaksa spare dua botol mineral besar minyak utk keselesaan jalan jauh.. selain box barang, bag barang , pam angin tayar , getah cucuk bocor, spanar, palayer, lampu picit, semua saya bawa, depan botol air minum , makanan… style pengembara jauh…. syukur tiada bocor, rosak, jem , ke apa masalah… kap cai terbaik bagi saya kerana kawan saya pakai LC 135 jem motornya sebab cooling bocor… rupanya motor tekNoloji lama ni.. memang dah terBukti… itu sebab saya panggil kap cai kuda besi..yg sakit badan je sebab lama duduk atas motor… motor ok je… pilihan bijak utk kembara santai bukan utk berlumba.. harga pun mampu… itu motor standard , belum lagi bikin pasang CDI ,tukar piston besar dan sebagainya…

Leave a Reply

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.