Melibatkan lapan model kenderaan yang dijual dipasaran tempatan

Ford Fiesta telah dianugerahkan pengiktirafan tertinggi untuk ciri-ciri keselamatan kereta dan perlindungan bagi penumpang di kalangan lapan buah model kenderaan yang telah diuji untuk perlanggaran hadapan dibawah program terulung Asean NCAP (Program Penilaian Kereta Baru Asean).

Keputusan itu telah diumumkan pada 31 Januari di makmal ujian kemalangan Institut Keselamatan Jalan Raya dan Penyelidikan (Miros) di Ayer Molek, Melaka.

Lapan buah model kereta berkenaan yang telah melalui ujian kemalangan di antara bulan November hingga Januari di makmal Miros PC3 adalah Nissan March, Hyundai i10, Honda City, Toyota Vios, Proton Saga FLX, Ford Fiesta, Perodua Myvi dan Proton Saga FLX +.

Ford Fiesta 1.6 liter sedan dengan lima pintu telah mendapat penilaian tertinggi setelah mencapai 5 bintang bagi Perlindungan Orang Dewasa (POD) dan 66 peratus untuk Perlindungan Kanak-Kanak (PK) dan turut mencapai markah tertinggi dengan 15.73 dari markah penuh 16.

Pencabar terdekat adalah Honda City 1.5 liter Sedan dengan penarafan 5 bintang untuk POD dan 81 peratus perincian bagi PK. Model Honda ini pula memperolehi markah 15.44 daripada 16 mata.

Adalah perlu dijelaskan bahawa penarafan lima bintang di atas untuk untuk model City di atas adalah untuk jenis kereta yang dilengkapi dengan VSA (istilah Honda untuk kawalan kestabilan elektronik). Di dalam konteks Malaysia, ia merujuk kepada model Gred E.

Ia juga membayangkan bahawa model City Gred S, yang tidak mempunyai VSC, akan mempunyai penarafan empat bintang iaitu penilaian yang lebih kurang sama dengan Toyota Vios.

Kelayakan penarafan

Untuk layak menerima penarafan lima bintang di bawah Asean NCAP, sesebuah kenderaan mestilah dilengkapi dengan sekurang-kurangnya dua beg udara (airbag), kawalan kestabilan elektronik dan amaran peringatan untuk memasang tali pinggang keledar di tempat hadapan.

Ujian perlanggaran tanpa prejudis ini adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara yang bertujuan untuk mengukur ciri-ciri keselamatan kereta di rantau ini serta menilai tahap perlindungan untuk pemandu serta penumpang.

Asean NCAP tidak terlalu khusus untuk sesebuah model kereta yang dipasarkan berlainan gred kerana keputusan ini bukan sahaja dikhaskan kepada pasaran kereta Malaysia tetapi di seluruh Asia Tenggara. Di negara-negara lain, ciri-ciri pakej keselamatan sesebuah kereta adalah berbeza dari di Malaysia.

Proton juga raih 3 bintang

Bagi pengeluar kenderaan tempatan, Proton Saga FLX + 1.3 liter yang bakal dipasarkan kelak telah menerima penarafan 3 bintang untuk POD dan 58 peratus bagi PK manakala Proton Saga FLX 1.3 liter (dengan satu beg udara) telah diberikan markah 1 bintang untuk POD dan hasil daripada 54 peratus bagi PK. Model FLX+ telah diberi penilaian markah keseluruhan 10.23, manakala bagi Saga FLX pula ia telah diberikan markah 4.30 (daripada 16 mata).

Di samping itu, Perodua Myvi 1.3 liter telah dianugerah 3 bintang untuk POD dan meraih 54 peratus untuk PK dengan keseluruhan markah 8.71.

Untuk makluman, Miros PC3 telah membeli tujuh buah kenderaan dari bilik pameran kereta tanpa pengetahuan pengeluar dan mereka hanya dimaklumkan satu bulan sebelum ujian kemalangan tersebut dilakukan.

Pada mulanya, jadual ujian asal adalah dari 15 November hingga Januari 10 untuk tujuh buah model. BH Auto difahamkan, memandangkan Proton Saga FLX sedang dihentikan pengeluarannya pada Februari, Miros pula menjalankan ujian perlanggaran pada Jan 29 untuk model Saga FLX+ yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

Kaedah Ujian

Ujian kemalangan dijalankan melalui perlanggaran 40 peratus bahagian hadapan kereta dengan besi aluminium ‘honeycomb’ pada kelajuan 64 km/h. Ia turut menilai ‘kecederaan’ pada patung atau ‘dummy’ untuk dua orang dewasa dan anak kecil berusia tiga tahun serta bayi berusia 18 bulan.

Keputusan ‘kecederaan’ disalurkan daripada peranti yang ditanam di dalam patung ujian. Ia kemudiannya dianalisa dan dikelaskan mengikut beberapa bahagian tubuh badan manakala bagi kanak-kanak pula, ia adalah berdasarkan kepada sistem sekatan kanak-kanak (CRS) serta tahap perlindungan yang digunakan di dalam kenderaan yang tertentu seperti sistem ISOFIX atau hanya melalui tali pinggang keledar.

Fasa kedua Asean NCAP akan bermula pada bulan April yang akan melibatkan 12 kenderaan dari pengeluar kereta serantau. Adalah difahamkan bahawa fasa seterusnya akan turut memberi tumpuan kepada Kenderaan Serba Guna(MPV). -Shahrim Tamrin

INFO

JUMLAH MARKAH KESELAMATAN daripada 16.00
Ford Fiesta 1.6 sedan liter (15.73)
Honda City 1.5 liter (15.44)
Toyota Vios 1.5 liter (13.61)
Nissan Mac 1.2 hatchback liter (11.66)
Proton Saga FLX + 1.3 liter (10.23)
Perodua Myvi 1.3 liter (8.71)
Hyundai i10 1.1 liter (7.31)
Proton Saga FLX 1.3 liter (4.30)

Perincian ujian bagi model-model terlibat:

Ford Fiesta
Varian: LX Ti-VCT Automatik (dengan tujuh beg udara)
Tahun dibina: 2012
Kategori Kenderaan: Sedan 5 pintu
Kapasiti Enjin: 1.6 Liter Petrol
Tarikh ujian perlanggaran Asean NCAP: 3 Januari 2013

Honda City
Varian: Gred S (dengan dua beg udara)
Tahun dibina: 2012
Kategori Kenderaan: Sedan 5 pintu
Kapasiti Enjin: 1.5 Liter Petrol
Tarikh ujian perlanggaran Asean NCAP: 13 Disember 2012

Toyota Vios
Varian: 1.5J (MT dengan dua beg udara)
Tahun dibina: 2012
Kategori Kenderaan: Sedan 5 pintu
Kapasiti Enjin: 1.5 Liter Petrol
Tarikh perlanggaran Asean NCAP: 20 Disember 2012

Nissan March
Varian: E MT (dengan satu beg udara)
Kategori Kenderaan: 5 pintu Hatchback
Kapasiti Enjin: 1.2 Liter Petrol
Tarikh perlanggaran Asean NCAP: 15 November 2012

Proton Saga FLX +
Varian: Standard (dengan dua beg udara)
Tahun dibina: 2013
Kategori Kenderaan: Sedan 5 pintu
Kapasiti Enjin: 1.3 liter petrol
Tarikh perlanggaran Asean NCAP: 29 Januari 2013

Perodua Myvi
Varian: SX (dengan dua beg udara)
Tahun dibina: 2012
Kategori Kenderaan: 5 pintu Hatchback
Kapasiti Enjin: 1.3 Liter Petrol
Tarikh perlanggaran Asean NCAP: 10 Januari 2012

Hyundai i10
Varian: 1.1 Epsilon (dengan dua beg udara)
Tahun dibina: 2012
Kategori Kenderaan: 5 pintu Hatchback
Kapasiti Enjin: 1.1 Liter Petrol
Tarikh perlanggaran Asean NCAP: 6 Disember 2012

Proton Saga FLX
Varian: Standard (dengan satu beg udara)
Tahun dibina: 2012
Kategori Kenderaan: Sedan 5 pintu
Kapasiti Enjin: 1.3 Liter Petrol
Tarikh perlanggaran Asean NCAP: 27 Disember 2012