Bermacam variasi model konsep Volkswagen UP! pernah dipaparkan kepada umum ketika Pameran Permotoran Frankfurt tahun lalu. Kini model produksi Up! lima pintu bakal berada di pasaran bermula di Eropah Mei ini. Ruang, keluasan serta pilihan enjinnya (1.0 tiga silinder berkuasa 60hp atau 75hp) masih sama dengan model tiga pintu yang sudah berada di pasaran Eropah sejak Disember lalu namun versi lima pintu ini memberikan lebih ciri praktikaliti. Enjin yang digunakan dilengkapi dengan teknologi Blue Motion, dengan catatan penggunaan bahan api sekitar 4.2l/100km untuk yang berkuasa 60hp dan 4.3l/100km bagi enjin berkuasa 75hp. Selain itu, UP! juga adalah kenderaan pertama dalam segmennya yang dilengkapi sistem Brek Kecemasan Bandar yang membolehkan kenderaan berhenti secara automatik apabila berhadapan dengan perlanggaran di bawah kelajuan 28km/j. - BH Auto, 27 Januari 2012.




