Motosikal / Tunggang Uji / Ulasan

Vespa GTS Super 150 – Ruang lebih luas

Feb 3, 2016 · 18:42 PM

Turut guna kelengkapan seperti model 300

Vespa GTS Super 150-16

Sudah beberapa kali kami mendengar apabila ada yang ingin mendapatkan sebuah skuter dan Vespa berada dalam senarai, ia sering diketepikan semula kerana saiznya yang kecil, terutamanya bagi mereka yang bersaiz besar dan berketinggian lebih 160cm.

Sebenarnya, dalam barisan Vespa yang ditawarkan oleh Naza Premira Sdn Bhd, terdapat sebuah model yang masih menggunakan enjin 154cc dan mempunyai kerangka badan lebih besar iaitu Vespa GTS Super 150.

Sekali imbas, anda mungkin akan terlepas pandang keistimewaannya ini tetapi apabila diletakkan bersebelahan dengan model seperti Primavera dan Sprint, barulah ia akan terlihat dengan jelas. Bahagian tepinya lebih ‘gemuk’, jarak roda lebih panjang dan tempat duduk juga lebih gebu. Badannya ini, adalah bersaiz sama dengan Vespa GTS300 dan sekaligus menjadikannya lebih luas.

Vespa GTS Super 150-19

Baiklah, itu sedikit berkenaan bentuknya. Tetapi bagaimana pula dengan kualiti tunggangannya? Mungkin ada yang menyangka, dengan menggunakan enjin 154cc sama tetapi badan lebih besar, Vespa GTS Super 150 mungkin tidak begitu mengujakan. Tetapi, kami boleh mengatakan sebaliknya, malah pengalaman bersama Vespa GTS Super 150 adalah yang paling mengujakan selepas Vespa Sprint (dalam kategori Vespa 150).

Pecutan yang dihasilkan oleh enjin 154cc pada Vespa GTS Super 150 adalah lancar hasil daripada gabungan bersama transmisi automatik CVT dan mencukupi dalam pelbagai keadaan terutamanya di dalam bandar. Apatah lagi, Vespa mempunyai karekter pengendalian yang unik, iaitu lincah untuk bertukar arah menjadikannya sangat mudah.

Vespa GTS Super 150-7

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Vespa GTS Super 150 tidak boleh digunakan untuk perjalanan merentas bandar. Satu lagi kelebihan Vespa GTS Super 150 adalah ia mempunyai kadar penjimatan bahan api yang baik apabila digunakan dalam perjalanan jauh. Seperti yang kami dapati, bermula dari Kuala Lumpur, menuju ke Hulu Yam dan berpatah balik, tangkinya masih lagi berisi dan hanya menyala apabila perjalanan sudah mencatat hampir 120km.

Dari aspek kelajuannya pula, apabila dinaiki bersama penumpang dan sedikit barangan keperluan, Vespa GTS Super 150 boleh memecut sehingga lebih sedikit daripada 110km/j dan mencukupi walaupun melalui jalan yang lebih terbuka.

Vespa GTS Super 150-14

Selain itu, semasa melalui jalan Hulu Yam yang berliku, penulis juga mendapati Vespa GTS Super 150 memberikan tunggangan lebih meyakinkan termasuk sewaktu mengambil selekoh dan membrek, hasil penggunaan dua penyerap hentak di belakang dan brek cakera lebih besar di hadapan dan belakang berbanding model seperti Primavera dan Sprint.

Bukan sekadar prestasi tunggangan, penulis juga tertarik dengan praktikaliti dan kemudahan yang disediakan pada Vespa GTS Super 150. Di bawah bahagian pemegang dan meter, terdapat satu panel yang boleh dibuka dengan menekan lubang kunci dan dapat menempatkan barangan penting seperti beg duit ataupun telefon serta cangkuk yang cukup berguna untuk menggantung barangan. Bagi penulis, ia digunakan apabila ke kedai runcit dan menggantung tali beg apabila beg tersebut diletakkan atas ruang lantai supaya tidak teralih apabila mengambil selekoh.

Vespa GTS Super 150-18

Di bawah tempat duduk, disediakan ruang lebih luas tetapi tidak begitu dalam. Mulanya penulis beranggapan ia boleh memuatkan topi keledar bercermin gelembung tetapi setelah mencuba pelbagai kedudukan, ia tetap gagal. Penyelesaiannya topi keldar ini boleh disangkut pada cangkuk yang disediakan dan terkunci apabila tempat duduk tersebut diturunkan. Jika anda menggunakan topi keledar terbuka tanpa cermin hadapan, ia boleh dimuatkan di situ.

Satu lagi tambahan yang dapat dinikmati apabila anda menunggang Vespa adalah pandangan orang ramai. Ke mana sahaja yang anda pergi, orang sekitar pasti menunjukkan respon positif dan ini sukar didapati apabila menunggang kapcai biasa. – Durrani Sharom

 

Spesifikasi Vespa GTS Super 150 ie

Enjin: 154.8cc, satu silinder, suntikan bahan api, empat strok, tiga injap
Transmisi: automatik CVT
Kuasa maksimum: 12hp @ 7,500rpm
Tork maksimum: 12Nm @ 5,000rpm
Kapasiti tangki: 9.0L
Brek: Cakera 220mm di hadapan dan belakang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.