Jangan salahkan penulis jika kelihatan agak berat sebelah dengan jenama Vespa. Kenangan manis pertama kali menunggang sebuah motosikal sememangnya tidak akan dilupakan. Dan motosikal itu merupakan sebuah Vespa, mungkin model P150 yang berjaya ditunggang sewaktu zaman awal sekolah rendah lagi, berkat tunjuk ajar seorang abang angkat. Tentunya tanpa pengetahuan bapa.

Ketika itu iaitu pada awal ’70an, Vespa sedang berada pada zaman kegemilangannya di negara ini, dan kumpulan-kumpulan anak muda yang menunggang Vespa sering kelihatan di bandar dan desa. Pemilikan sebuah Vespa juga dilihat sebagai satu simbol status kejayaan seseorang, dan diikuti dengan gaya hidup tersendiri dengan seluar yengki yang juga seiring dengan zaman kegemilangan kugiran pop yeh-yeh.

Kini, gaya hidup bebas dan bergaya ini muncul semula dengan penawaran barisan model baru Vespa LX 150 dengan warna-warna ceria. Model Vespa kini tidak lagi menggunakan enjin dua lejang dan tranmisi ‘klac-dan-pulas’ dengan tiga kelajuan seperti dulu. Ia kini tampil dengan enjin empat lejang sejukan udara, yang turbin penyejukkannya masih lagi menghasilkan desingan angin yang akan mengingatkan anda kepada model dulu.

Tunggangan kini jauh lebih mudah dengan sistem pacuan CVT otomatik tanpa klac. Cuma pulas pendikit dan ia akan meluncur seperti yang anda kehendaki, sebagaimana lazimnya motosikal jenis skuter lain. Namun, jangan dilupa bahawa konsep skuter ini berasal dari Vespa!

Model LX150 ini bersaiz sederhana dan mudah ditunggang oleh semua. Gantungan hadapannya masih menggunakan sistem penyerap hentak-berhubung seperti dahulu, yang mengekalkan ciri retronya, namun kini roda hadapannya dihentikan dengan sistem brek cakera.

Pelananya besar dan selesa baik bagi penunggang mahupun pembonceng anda, dan terdapat ruang simpanan barangan kecil di bahagian dalam penghadang angin depan. Ruang yang lebih besar terdapat di bawah pelana, namun hanya boleh menampung sebuah topi keledar sahaja. Bekas ruang simpanan ini boleh diangkat untuk memberikan laluan mudah kepada bahagian enjin bagi kerja-kerja menyelenggara.

Tunggangan model ini amat selesa dan mudah dikendalikan, terutama di celah-celah kenderaan lain walaupun dalam keadaan jalan yang agak sesak. Cuma awas sedikit apabila mengambil selekoh kerana tongkat sisinya mudah menjejak jalan. Pecutannya juga memuaskan untuk memotong kenderaan lain dengan selamat, dan skuter comel ini juga didapati stabil walaupun pada kelajuan melebihi 120kmj. Jika dinilai menerusi sesi tunggang uji ini, penggunaan bahan apinya menjimatkan. Pengisian semula tangkinya memerlukan anda mengangkat pelana, sama seperti Vespa dulu. Menongkat motosikal ini adalah mudah dengan adanya tongkat sisi dan juga tongkat tengah utama.

Mungkin ada yang mengatakan harganya lebih tinggi berbanding skuter 150cc yang lain dalam pasaran kini, tetapi jenama ini mampu diyakini kualiti enjin dan binaannya, termasuk penggunaan kerangka aluminium sepenuhnya. Masih dikeluarkan oleh syarikat Piaggio dari Itali, semakin banyak model LX ini kelihatan di jalan raya saban hari.

Di bina kemas, terdapat pelbagai aksesori yang ditawarkan oleh Naza Primera bagi menghiasi Vespa anda agar ia tampil unik untuk personaliti anda, lengkap dengan barisan pakaian dan juga kelengkapan rumah seperti jam meja dan sebagainya. Vespa bukan hanya satu mod pengangkutan, ia juga satu gaya hidup tersendiri. - Salihin Rahim, 3 Januari 2012.

 

Spesifikasi Vespa LX150

Enjin: 151cc satu selinder 4-lejang sejukan udara dwi-injap

Transmisi : otomatik CVT  (Continuously Variable Transmission)
Kuasa maksimum: 11.8hp@7,750 rpm
Dayakilas maksimum: 11.6Nm@6,000 rpm
Tayar hadapan:      110/70 R11
Tayar belakang:  120/70 R10
Komen BH Auto: “Gaya retro menawan”.