Jika anda mahukan sebuah kenderaan Volkswagen yang hampir menyerupai Touareg tetapi lebih kecil, Tiguan adalah jawapannya. Mula diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2008, versi barunya kini sudah dilancarkan.
Menampilkan rekaan badan yang bergaya dan ciri serba boleh, kenderaan ini bakal memenuhi keperluan pasaran SUV kecil di Malaysia. Kuasa sebanyak 207hp yang dikeluarkan pada keempat-empat tayar (4WD) kenderaan ini datang daripada enjin 2.0 TSI turbo yang digabungkan bersama kotak gear DSG tujuh kelajuan.
Di dalam pengguna dapat menikmati keselesaan upholsteri ‘Vienna’ yang digunakan bersama teknologi canggih terkini seperti sistem multimedia pelbagai, Kawalan Jarak Letak Kenderaan (PDC), kamera undur, sistem audio RCD510 dengan MP3, penukar CD dan lapan pembesar suara.
Dari segi keselamatan, ia dilengkapi ABS, EBD, ESP, Anti-Slip Regulator (ASR), Comfort Brake Assistant, Pengawal Tork Enjin (EDTC) dan penunjuk tekanan tayar. Tiguan dijual pada harga RM236,888 dalam sembilan piihan warna. Layari www.volkswagen.com.my untuk maklumat lanjut. – BH Auto, 27 Oktober 2011.









