Peminat motosikal tempatan tentunya mengalu-alukan langkah Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd memasang motosikal Yamaha XJ-6 Diversion dalam negara. Dipasang di kilang syarikat itu di SungaiBuloh Selangor,iajuga merupakan bukti dan keyakinan pengeluar negara matahari terbit itu terhadap kemampuanMalaysiabagi memasang jentera berteknologi tinggi. Ini merupakan kilang kedua di luar Jepun yang memasang model XJ-6 ini selepas Brazil.

Agak sederhana saiznya bagi sebuah motosikal 600cc, ketinggian dan kelebaran pelananya juga selesa dan meyakinkan bagi capaian kaki agar mudah diimbang sewaktu berhenti di lampu isyarat, mahupun bagi penunggang wanita.

Pelarasan penyerap-hentak belakang mudah dilakukan dengan spanar khas yang turut dibekalkan bersama motosikal tersebut, bagi mendapatkan tahap diinginkan. Sepasang penyeraphentak teleskopik mengampu bahagian hadapan tetapi tidak dibekalkan ciri bolehlaras. Kuasa hentian pula dibekalkan oleh dua cakera brek hadapan yang diapit oleh angkup Akebono diimbangkan dengan angkup Nisin di belakang.

Menghidupkan enjin suntikan bahan api ini secara elektrik adalah mudah walaupun pada waktu pagi ketika enjin masih sejuk. Motosikal empat lejang empat silinder bersesaran 600cc ini mampu ditingkatkan pusingan enjinnya (rpm) dengan lancar dan mudah sehinga garis merah pada 11,000rpm. Tindak balas enjin terhadap kilasan pendikit adalah agak cepat, dan daya pecutannya cukup menyakinkan apabila memotong kenderaan lain walaupun dalam gear teratas.

Penukaran gear juga lancar selaras dengan kehendak jalanan, dan mencari gear neutral ketika berhenti juga agak mudah. Tunggangan pantas dengan menaikkan gear secara tanpa klac atau ‘clutchless’ juga didapati lancar.

Derumannya agak lembut daripada ekzos yang agak tersorok di bawah motosikal, dan mungkin ada yang mendambakan bunyi yang ‘ganas’ sedikit bersesuaian dengan sesaran motosikal tersebut. Cuma kedudukan corong ekzosnya agak kehadapan dan mungkin akan menghembuskan gas panas ke tumit kanan anda jika anda meletak kaki ke tanah di belakang pemijak kaki. Mungkin lubang keluaran gas panas yang sedikit sendeng akan membuatkan ia lebih sesuai dan selesa.

Paparan meter digitalnya juga mudah dibaca walaupun dalam cuaca panas dan terang, dengan kedudukan suis kawalan yang mudah dicapai. Saiz pelana belakang juga akan memuaskan hati pembonceng anda walaupun dalam perjalana jauh.

Pada harga asas RM39,000.00 Yamaha Diversion XJ-6 ini merupakan sebuah motosikal permulaan yang meyakinkan dan sesuai bagi mereka yang ingin menceburkan diri ke dalam dunia jentera berkuasa tinggi. Dengan karektor yang selamat dan mudahkawal, ia mampu memberikan asas pengendalian kuasa sebelum bergerak ke jentera yang lebih besar. - Salihin Rahim, 26 Ogos 2011.

 

Spesfikasi Yamaha XJ6 Diversion

Enjin: 4-selinder sebaris 600cc 4-lejang DOHC sejukan cecair

Gerek x lejang: 65.5mm x 44.5mm

Kuasa maksimum: 57.0 KW (77.5 PS) @ 10,000 rpm

Tork maksimum: 59.7 Nm(6.1kgf*m) @ 8,500 rpm

Pelana: 785 mm

Berat basah: 211 kg

Tangki: 17 Liter

Harga: RM39,000 (harga jualan)

Komen BH Auto: “Motosikal permulaan dunia kuasa tinggi”